
SANDAKAN: Seorang lelaki ditemukan meninggal dunia hari ini selepas dipercayai disambar buaya ketika merambat ikan di Batu 10 Kampung Sungai Batang Baru pada pagi Khamis (27 Feb).
Mayat mangsa berusia lingkungan 50-an itu dijumpai orang awam dalam keadaan tidak sempurna di jarak 400 meter mangsa dilaporkan disambar buaya.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Severinus@Mohd Nidzam Sainkui berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 5.40 petang kelmarin.
“Menurut saksi, mangsa sedang menabur baja ke dalam sungai untuk memulakan aktiviti merambat ikan namun telah disambar buaya dan hilang.
“Pasukan bomba dalam perjalanan ke lokasi kejadian untuk mendapatkan maklumat seterusnya menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) namun tidak berjaya menemui mangsa.
“Namun, pada SAR hari kedua pasukan bomba mencari mangsa di kawasan tebing-tebing sungai dan mayat mangsa telah dijumpai (tidak sempurna) oleh orang awam 400 meter dari mangsa dilaporkan disambar buaya pada jam 8.44 pagi kelmarin,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
Mayat mangsa seterusnya diserahkan kepada Pihak PDRM untuk tindakan selanjutnya sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 9.34 pagi.