
TANAH MERAH, KELANTAN: Seorang kanak-kanak berusia setahun tujuh bulan dilaporkan hilang di Kampung Aira Kuala Tiga, Tanah Merah pada malam Isnin lalu (24 Feb).
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan memaklumkan, mangsa, Hud Aryan Mohd Nor Hafifi disedari tiada di dalam rumah pukul 7.20 malam Isnin.
Susulan itu, pihak bomba kemudiannya melakukan operasi mencari dan menyelamat kira-kira pukul 11 malam dan disambung pada pagi Selasa.
Menurut Azean Irdawaty, Hud Aryan merupakan anak pertama adiknya, Azean Nur Atikah, 34, serta suami, Mohd Hafifi Saidi, 34, selepas tujuh tahun menanti cahaya mata.
Ujarnya, Azean Nur Atikah pernah mengalami keguguran sebanyak lima kali sebelum berjaya melahirkan Hud Aryan.
“Kejadian ini sangat memberikan kesan kepada mereka berdua, kerana ini anak lelaki tunggal dan sangat disayangi,” katanya.
Mengimbas semula kejadian itu, dia memberitahu ia berlaku kira-kira jam 7 malam di mana suasana ketika itu hujan renyai-renyai.
Dia memberitahu, Azean Nur Atikah baharu selesai menyuapkan makanan kepada Hud Aryan dan bangun ke dapur untuk mencuci tangan serta pinggan.
“Semasa kejadian itu ibu saudara kami ada datang ke rumah dan dia dikatakan terlupa untuk menutup pintu hadapan. Tidak sampai 10 minit adik memberitahu ibu saudara ada bertanyakan tentang Hud Aryan selepas tidak melihat kelibatnya.
“Dari situlah keluarga kami sedar Hud Aryan hilang dan sehingga sekarang masih gagal ditemukan. Kami berharap orang ramai dapat sama-sama berdoa supaya Hud Aryan berjaya ditemukan dengan selamat,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun dikhuatiri hilang di Kampung Aira Kuala Tiga, di sini pada Isnin.
Difahamkan semasa kejadian, Hud Aryan berada di rumah neneknya yang terletak kira-kira 90 meter dari anak sungai sebelum disedari hilang oleh ahli keluarga.