
TAWAU: UMNO dan Barisan Nasional (BN) mahu kembali semula menjadi parti dominan di Sabah dengan perlu memenangi lebih banyak kerusi pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN-17) berbanding PRN sebelum ini, kata Presiden UMNO, Datuk Seri Zahid Hamidi.
“Sebagai orang nombor dua di Putrajaya, saya akan tetap bisik kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sila bawa kemajuan lebih banyak ke Sabah ini, itu sebab saya sebagai Menteri di Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) Sabah menerima peruntukan terbesar daripada KKDW.
“Sebelum kita menghadapi pilihan raya pun saya telah melakukan yang terbaik unutk Sabah, apa lagi kalau kita menjadi dominan,” katanya ketika berucap menyampaikan amanat pada Majlis Sambutan Ulang Tahun UMNO Sabah ke-34 di sini, semalam.
Zahid dalam pada itu turut berkata, bahawa beliau sendiri akan memandu BN Sabah bagi menyediakan manifesto PRN Sabah.
“Datuk Bung Moktar, dengar baik-baik, manifesto ini bukan kitab suci, tetapi sekali kita berjanji, janji wajib ditepati dan jangan risau BN, Umno mahu kerjasama dengan gabungan mana, sama ada mahu Pakatan Harapan, Gabungan Rakyat Sabah atau parti lain itu tuan puan jangan risau,” katanya.
Beliau juga berkata BN Sabah tidak menutup rapat pintu kerjasama dengan parti lain.
“Kita akan bekerjasama dengan parti yang mempunyai semangat serta tujuan sama sekali gus penting mencapai garis utama iaitu demi kepentingan rakyat Sabah,” katanya.
Sumber: Bernama