
TAMPARULI: Seorang lelaki maut selepas Perodua Aruz dipandunya terbabas sendiri dan melanggar penghadang jalan dalam kejadian kemalangan di Kampung Lakang Jalan Berunggis di sini, petang tadi.
Mangsa, See Shun Beng, 28 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pihak perubatan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, Mohammad Nor Amit berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 5.35 petang.
“Lapor kemalangan melibatkan sebuah kenderaan jenis Perodua Aruz terbabas sendiri melanggar penghadang jalan dan terdapat seorang mangsa terlibat tidak sedarkan diri di dalam kenderaan.
“Pasukan Bomba seterusnya bertindak mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas sebelum disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Mayat mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Setelah memastikan tiada bahaya lain wujud di lokasi, operasi seterusnya ditamatkan sepenuhnya pada jam 7.05 petang.