
PUTATAN: Mayat seorang lelaki berusia lingkungan 30 tahun ditemui terdampar berhampiran Pantai Gorongon, Kampung Contoh, Petagas oleh orang awam pada awal pagi Sabtu (22 Feb).
Ketua Polis Daerah Penampang, Supt. Sammy Newton berkata, pihaknya menerima panggilan awam mengenai penemuan mayat pada jam 8.20 pagi.
“Hasil siasatan awal di lokasi kejadian mendapati tiada sebarang unsur kejadian jenayah dikesan.
“Walau bagaimanapun, kes masih lagi disiasat oleh pihak polis dan kes diklasifikasikan sebagai lapotan mati mengejut (SDR).
“Mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Queen Elizabeth 1 bagi tujuan bedah siasat dan untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, semalam.
Tambah Supt. Sammy, pihaknya kini sedang giat mengesan waris mangsa dan orang awam yang mempunyai maklumat mengenai mangsa diminta untuk tampil memberikan maklumat di balai polis berdekatan atau menghubungi pegawai Penyiasat kes, Ketua Balai Polis Putatan, Inspektor Afizul Ag Amin di talian 016-8352006.