
KOTA KINABALU: Jabatan Kerja Raya (JKR) seharusnya bertanggungjawab membuat pemantauan, pemeriksaan yang kerap dan rapi serta berjadual terhadap jalan-jalan yang rosak di mana sekali pun, sama ada di bandar-bandar besar atau kawasan pekan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor menegaskan, jabatan itu jangan menunggu sehingga berlaku kemalangan baru kelam-kabut bertindak.
Katanya, beliau begitu sedih dengan viral kejadian seorang pengguna jalanraya, iaitu penunggang motosikal maut gara-gara jalanraya yang dibiarkan berlobang yang berlaku dalam kawasan Bandaraya Kota Kinabalu baru-baru ini.
“Sementara perkara ajal dan maut itu adalah takdir yang telah ditentukan, tetapi jalanjalan yang rosak ini, tidak kira di mana sekali pun, di bandar-bandar besar atau kawasan pekan, pihak JKR seharusnya bertanggungjawab membuat pemantauan atau pemeriksaan yang kerap dan rapi serta berjadual.
“Jangan tunggu sampai ada aduan atau arahan, baru mau bergerak! Ini adalah zaman dimana segala-galanya berada di hujung jari. Silap sedikit, pasti ada yang tukang viral sambil menyalahkan Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Ketua Menteri.
“Yang dilihat dan yang ditegur bukannya Kementerian atau Jabatan yang berkenaan, tetapi Kerajaan dan Ketua Menteri”, katanya pada Majlis Amanat Tahun Baru 2025 Ketua Menteri Bersama Penjawat Awam di Negeri Sabah di Sabah International Convention Centre (SICC) pada Khamis.
Hajiji berkata, begitu juga dengan isu air, isu elektrik, isu setinggan haram oleh golongan PTI dan bermacam macam lagi isu terkait kepentingan rakyat yang sepatutnya dapat diatasi jika kita cekap, pantas dan tangkas dalam bertindak dan menunaikan kewajipan.