
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menzahirkan harapan agar kerajaan pimpinannya diberi peluang sekali lagi oleh rakyat Sabah untuk meneruskan pemerintahan di negeri ini.
Beliau berkata, hakikatnya masih terlalu banyak yang perlu kerajaan lakukan untuk memajukan negeri dan mensejahterakan rakyat.
“Dengan hati dan minda yang terbuka, saya berharap Kerajaan ini akan diberi peluang sekali lagi oleh rakyat untuk meneruskan pemerintahan di negeri yang bertuah ini.
“Jika Kerajaan ini kembali memerintah, insya Allah kita akan kekal bersama-sama menjayakan dan memperhebatkan lagi pelaksanaan Dasar Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
“Pelan Pembangunan Hala Tuju SMJ 1.0 akan menjadi Hala Tuju SMJ 2.0, demi kemakmuran negeri dan kesejahteraan seluruh rakyat, sesuai dengan agenda untuk menjadikan Sabah negeri yang hebat”, katanya pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2025 Ketua Menteri Bersama Penjawat Awam di Negeri Sabah di Sabah International Convention Centre (SICC) pada Khamis.
Katanya, agenda besar Kerajaan pada hari ini ialah untuk menjadikan Sabah sebuah negeri yang hebat dan cemerlang dalam pelbagai sektor pembangunan pada masa akan datang.
Menurutnya, kerajaan telah meletakkan suatu dasar yang jelas lagi komprehensif, dasar yang terbaik untuk negeri dan seluruh rakyat. Dasar Hala Tuju SMJ yang kita cipta sesuai dengan keperluan dan kehendak semasa, ke arah kemajuan yang holistik dan kesejahteraan yang merangkumi setiap lapisan rakyat.
Beliau berkata, bagi menjayakan agenda memperhebatkan negeri Sabah, jalinan kerjasama dan persefahaman antara pimpinan negeri dengan para penjawat awam, perlu terjalin erat dan sentiasa diperkukuhkan atas nama pertanggungjawaban dan kecintaan terhadap negeri dan tanahair yang disayangi.
“Begitu juga dengan hubungan akrab yang sedia terjalin, antara Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Persekutuan. Hubungan yang diibaratkan seperti aur dengan tebing, bukan sahaja harus dikekalkan, tetapi juga wajib diperkukuh lagi”, katanya.
Katanya, hubungan baik antara Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Persekutuan telah membawa banyak manfaat dan faedahnya kepada kita di Sabah. Berbagai isu dan perkara bukan sahaja dapat dirundingkan bahkan dapat juga diselesaikan.
“Ini merangkumi isu-isu berkaitan perundangan dan akta, isu-isu mengenai Perjanjian Malaysia 1963, dan lebih penting lagi isu-isu berkaitan usahasama atau kolaborasi antara Kerajaan Negeri dengan PETRONAS”, tambahnya.
Hajiji mengucapkan terima kasih kepada seluruh anggota perkhidmatan awam negeri dan persekutuan, yang sejak hampir 5 tahun ini, sentiasa memberikan sokongan dan dokongan terhadap kepimpinannya.
“Di sebalik berbagai halangan dan rintangan yang saya hadapi, saya masih boleh berbangga kerana anda, warga penjawat awam tetap berdiri teguh di belakang saya hingga ke hari ini”, tegasnya.
Hajiji menzahirkan penghargaan kepada mereka atas komitmen dan sokongan padu menjayakan agenda pembangunan negeri, termasuk mereka yang sedang mencurah bakti dalam sektor keselamatan, pendidikan dan kesihatan.
“Semoga negeri dan negara kita ini kekal aman dan sentosa, makmur dan sejahtera. Bersama kita kukuhkan tekad dan iltizam, menjayakan hasrat dan impian ke arah menjadikan Sabah – Negeri Di Bawah Bayu – negeri yang maju, makmur, aman dan sentosa”, katanya.