Gambar: APM Kota Marudu
KOTA KINABALU: Daerah Kota Marudu kembali tenggelam akibat banjir susulan hujan lebat berterusan dan paras air sungai naik pada paras tahap bahaya sejak semalam menjadikan jumlah mangsa banjir seluruh Sabah meningkat kepada 608 orang setakat jam 8 pagi tadi.
Berikutan itu, Pegawai Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Kota Marudu, Meirin Sugara berkata, satu Pusat Pemindahan Sementara (PPS) diisytiharkan dibuka jam 1.30 pagi tadi.
Katanya, PPS yang dibuka adalah di Dewan Kampung Nolotan.
“Saya selaku Pengerusi JPBD Kota Marudu mengisytiharkan satu PPS dibuka di Dewan Kampung Nolotan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah dalam satu kenyataan turut memaklumkan turut terlibat dalam banjir kali ini adalah 162 keluarga di empat daerah terjejas setakat jam 8 pagi tadi.
Menurut kenyataan itu, antara daerah yang terlibat adalah di Beaufort; Kinabatangan dan Keningau dan Kota Marudu.
Setakat ini sebanyak lima buah PPS telah dibuka bagi menempatkan mangsa terjejas di daerah terlibat.
Di Beaufort, PPS yang dibuka adalah di Pusat Pemindahan Kekal (PPK) Dewan Selagon; Keningau di Dewan Koningau Majlis Daerah Keningau dan Dewan Masyarakat Keningau.
Manakala di Kinabatangan, PPS yang dibuka adalah di Sekolah Kebangsaan (SK) Sukau dan SK Bukit Garam.
Daerah Keningau dalam satu kenyataan memaklumkan, seramai 66 mangsa terjejas banjir melibatkan 16 ketua isi rumah (KIR) dipindahkan ke PPS setakat jam 1 pagi tadi.
Dari jumlah itu, seramai 18 orang melibatkan lelaki dewasa; 15 perempuan dewasa; 12 kanak-kanak perempuan; tujuh kanak-kanak lelaki; enam warga emas lelaki; empat warga emas perempuan; dua orang kelainan upaya (OKU) lelaki dan masing-masing satu bayi lelaki dan perempuan.
