KENINGAU: Seorang wanita dilaporkan alami cedera ringan selepas Perodua Bezza yang dipandunya terbabas masuk parit dalam kejadian kemalangan di Simpang 4 Jalan Bingkor subuh tadi .
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau, Sharudy Delamin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 2.50 pagi.
“Seramai lapan anggota pasukan Bomba dari BBP Keningau telah dikejarkan ke lokasi kejadian sejauh 10 kilometer dan tiba pada jam 3.01 pagi.
“Lapor kemalangan melibatkan sebuah kenderaan jenis Perodua Bezza terbabas di parit.
“Terdapat seorang mangsa wanita berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan Bomba di lokasi kejadian dan keadaan mangsa cedera ringan.
“Mangsa mendapat rawatan awal oleh pasukan EMRS Bomba dan seterusnya diserahkan kepada KKM untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Setelah memastikan tiada lagi keberbahayaan lain di lokasi operasi ditamatkan sepenuhnnya pada jam 3.21 pagi.