BEAUFORT: Pemandu Kancil yang merupakan lelaki warga emas berusia 68 tahun dilaporkan mengalami cedera parah di dada dan kepala selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan By Pass Limbawang, petang kelmarin.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beaufort, Mohammad Hasbullah Nenggok berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 5.18 petang.
“Lapor kemalangan melibatkan dua buah kenderaan jenis Perodua Kancil dan Perodua Alza.
“Terdapat seorang mangsa lelaki (Pemandu Kancil) berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan Bomba di lokasi kejadian dan keadaan mangsa cedera parah di bahagian kepala dan badan tetapi stabil.
“Manakala, empat orang mangsa dalam Perodua Alza yang mana tiga mangsa adalah lelaki mengalami kecederaan ringan dan seorang wanita mengalami cedera di bahagian tangan kiri.
“Mangsa telah mendapat rawatan awal oleh pasukan EMRS Bomba dan seterusnya dihantar ke hospital menaiki Ambulan KKM untuk mendapatkan rawatan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Setelah memastikan tiada lagi keberbahayaan lain di lokasi operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 5.55 petang.