KIMANIS: Tiga lelaki dilaporkan mengalami kecederaan termasuk seorang warga emas berusia 77 tahun alami cedera parah selepas kenderaan pacuan empat roda dinaiki mereka terbabas sendiri ke bahu jalan dalam kejadian kemalangan di Jalan Keningau – Kimanis, semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kimanis, Mohd Johainin Ruslan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 5.13 petang.
“Dua anggota pasukan Bomba dari BBP Kimanis bersama pasukan perubatan telah dikejarkan ke lokasi kejadian sejauh 29 kilometer dan tiba pada jam 5.41 petang.
“Lapor kemalangan melibatkan sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux terbabas sendiri di bahu jalan.
“Terdapat tiga orang mangsa dilaporkan terlibat yang mana kesemuanya adalah lelaki masing-masing berusia 58 dan 17 tahun alami cedera ringan, manakala warga emas dilaporkan cedera parah.
“Kesemua mangsa telah dikeluarkan oleh orang awam dan pasukan perubatan sebelum ketibaan pasukan Bomba di lokasi kejadian dan telah dihantar ke hospital,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.
Pasukan Bomba seterusnya bertindak mengambil maklumat di lokasi kejadian lalu memastikan tiada lagi bahaya lain yang wujud di seterusnya menamatkan operasi sepenuhnya pada jam 6.10 petang.