RANAU: Seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun mengalami kecederaan selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan terbabas ke dalam longkang dalam kejadian di Kampung Nalapak petang tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, Ridwan Mohd Taib berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 3.56 petang.
Katanya, seramai tujuh anggota pasukan Bomba dari BBP Ranau telah dikejarkan ke lokasi kejadian sejauh 26 kilometer dan tiba pada jam 4.23 petang.
“Lapor kemalangan melibatkan dua buah kenderaan, iaitu Toyota Veloz dan Mitsubishi Tirton terbabas ke dalam longkang.
“Terdapat seorang mangsa, iaitu kanak-kanak perempuan mengalami kecederaan manakala tujuh lagi mangsa lain tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
Bomba seterusnya bertindak menjalankan pemeriksaan untuk memastikan tiada lagi bahaya lain wujud di lokasi dan terus menghantar mangsa cedera ke Hospital menggunakan EMRS.
Operasi seterusnya ditamatkan sepenuhnya pada jam 4.42 petang.