TAWAU: Seorang lelaki dilaporkan mengalami kecederaan di bahagian muka selepas tiba-tiba didatangi dan ditumbuk oleh orang tidak dikenali ketika hendak membuang air kecil.
Berdasarkan maklumat awam, seorang lelaki telah ditahan polis (PDRM) Tawau terlibat dengan satu kes yang mendatangkan kecederaan kepada orang lain di satu kejadian di daerah ini.
Polis Tawau dalam satu kenyataan pada Selasa berkata, kejadian berlaku ketika mangsa hendak membuang air kecil, tiba-tiba didatangi oleh seorang lelaki tidak dikenali dan telah menumbuk muka mangsa sehingga menyebabkan rahangnya patah.
“Sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) IPD Tawau telah menahan dan memeriksa seorang lelaki dikenalpasti terlibat dengan kes di tandas awam Jalan Chen Fook petang Isnin.
“Suspek dibawa balik ke IPD Tawau untuk tindakan lanjut dan kes akan disiasat dibawah seksyen 325 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Semakan rekod jenayah lampau mendapati suspek juga pernah disabit dengan pelbagai kes jenayah iaitu (02) Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, (02) Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan (02) Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952.