KOTA KINABALU: Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah, Peto Galim menekankan kepentingan dalam pemilihan pasangan terbaik bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17.
“Kemungkinan banyak, kita boleh bekerjasama dengan pihak sebelah kiri, tetpai yang sebelah kanan pun boleh.
“Tetapi, pada hemat saya dan saya telah berbincang juga dengan Pengerusi MPN Sabah, Datuk Mustapha Sakmud, di mana sampai masa kita akan mengambil keputusan yang memberi untung kepada parti dan pimpinan PKR di negeri ini.
“Mari kita bertindak dengan wajar, bertindak dengan bijak dan fokus kepada PRN akan datang,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam PKR Sabah bersama Naib Presiden PKR, Nik Azmi Nik Ahmad di sini, semalam.
Peto yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Inanam turut menekankan kepada semua jentera parti untuk meletakkan pimpinan dan perjuangan PKR menjadi pilihan di mata rakyat pada PRN akan datang.
“Harus diingat, negeri Sabah adalah negeri yang masih mundur. Soal kemiskinan, pendidikan, kesihatan, infrastruktur di Sabah adalah masalah yang masih membelenggu dan akan menjadi ‘subjek matter’ dalam PRN akan datang.
“Tapi, keberadaan pimpinan dan kita di mata rakyat masih menjadi tanda tanya. Oleh sebab itu, saya menyeru diri saya dan semua pimpinan kita, semua sahabat pimpinan kita untuk terus aktif di dalam memperjuangkan masalah rakyat, barulah mereka hormat kita.
“Oleh sebab itu, waktu lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini, beliau telah mencadangkan supaya pimpinan negeri Sabah menjadi ‘campion’ kepada isu kemiskinan di negeri ini. Sebab itu, saya sangat mengharapkan semua kita ini mengambil peranan dan ambil peluang ini, kalau tidak, kita akan dilihat sebagai satu kumpulan yang begitu-begitu sahaja, yang bukan menjadi pilihan mereka,” katanya.