KOTA KINABALU: Yang di-Pertuan Negeri Sabah Ke-11, Tun Datuk Seri Musa Aman diakui banyak berjasa dalam usaha membangunkan ekonomi Sabah sebelum beliau menjawat jawatan sebagai Ketua Menteri Sabah.
Focal Person Kebangsaan Kementerian Pendidikan Malaysia, Datuk Mohammad Arif Tun Sakaran yang menyambut baik pelantikan Tun Musa itu berkata, bekas Ketua Menteri itu berjaya membangunkan ekonomi Sabah dengan menumpukan perbadanan kewangan negeri sebelum terlibat dalam bidang politik.
“Sebelum itu juga kalau kita lihat pembangunan ekonomi telah menumpukan perbadanan kewangan di negeri Sabah yang begitu cemerlang sebelum beliau melibatkan diri dalam politik.
“Kita lihat banyak pembangunan sektor ekonomi yang dibangun oleh Tun Musa dengan menubuhkan beberapa agensi-agensi di negeri ini,” katanya ketika ditemui media pada Majlis Apresiasi Murid Tahun Enam, PPKI dan Pra Sekolah Sekolah Kebangsaan (SK) Luyang di sini, pada Rabu.
“Saya sendiri menyambut baik di atas pelantikan Tun Musa sebagai Yang di-Pertuan Negeri Sabah yang baharu.
“Kerana kalau kita lihat peranan Tun Musa sangat banyak membawa kejayaan di peringkat negeri sepanjang 15 tahun menjawat jawatan Ketua Menteri,” katanya.
Terdahulu Tun Musa, 73, dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah mengikut Perkara 1 Perlembagaan Negeri Sabah, bagi tempoh empat tahun bermula 1 Januari 2025 hingga 31 Disember 2028.
Pelantikan Tun Musa adalah bagi menggantikan Tun Juhar Mahiruddin yang akan menamatkan tempoh perkhidmatan pada 31 Disember ini, selepas menyandang jawatan itu selama empat penggal bermula 1 Januari 2011.
Tun Musa turut dilaporkan selamat tiba bersama rombongan di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) di sini, pada kira-kira jam 12.02 tengah hari Rabu dan disambut oleh ribuan rakyat Sabah.