BEAUFORT: Tiga buah motosikal turut musnah terbakar dalam kejadian kebakaran melibatkan sebuah rumah dua tingkat di Kampung Luagan di sini, Rabu lalu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beaufort, Mohammad Hasbullah Nenggok berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian kebakaran itu pada jam 9.16 pagi.
“Seramai 10 anggota pasukan Bomba dari BBP Beaufort telah dikejarkan ke lokasi kejadian sejauh 7.3 kilometer dan tiba pada jam 9.31 pagi.
“Lapor kebakaran melibatkan sebuah rumah dua tingkat jenis separuh kekal berkeluasan 30 x 40 kaki persegi terbakar 100%.
“Turut terbakar tiga buah motosikal jenis Honda EX-5, Yamaha RYZ dan Modenas terbakar 100%,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Operasi pemadaman katanya, menggunakan satu aliran 100 kaki dua pancutan sumber air terbuka, iaitu longkang.
Setelah memastikan tiada bahaya lain wujud di lokasi, operasi seterusnya ditamatkan sepenuhnya pada jam 11.48 pagi.