KOTA KINABALU: Semua pihak terutama komponen dalam Kerajaan Perpaduan diingatkan untuk wajib menghormati Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku pemimpin kerajaan.
Setiausaha Politik Ketua Menteri Sabah, Abdul Rahman Yakub berkata, perlu ditunjukkan rasa hormat dan keyakinan kepada kepimpinan negara seperti yang dijelaskan dalam konsep Malaysia Madani.
“Perdana Menteri telah memberi jaminan, siasatan akan dijalankan dengan bebas dan telus, bukankah itu yang memang kita mahu dan sering diungkapkan secara konsisten selama ini?
“Tindakan drastik seperti meninggalkan kerajaan Negeri sebelum siasatan selesai adalah terburu-buru dan tidak konsisten dengan prinsip undang-undang, di mana seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi memberi respon balas kepada kenyataan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke yang memberi mandat penuh kepada pimpinan DAP Sabah untuk mengkaji semula kedudukan parti dalam pentadbiran kerajaan negeri ini dan mengambil tindakan selanjutnya susulan isu video skandal ditularkan membabitkan beberapa pemimpin Sabah.
Sementara itu, Rahman turut menyokong kenyataan Setiausaha DAP Sabah, Vivian Wong yang mengiktiraf dan menghargai tindakan tegas Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor yang tidak mengeluarkan lesen melombong.
“Disebalik pelbagai khabar yang dipetik daripada beberapa sumber video yang disunting itu, satu fakta yang jelas ialah Ketua Menteri tiada mengeluarkan lesen dan menyerahkan kawasan mineral kepada mana-mana pihak.
“Oleh itu, semua pihak patut memuji dan berterima kasih atas tindakan tegas oleh Ketua Menteri kita.
“Saya juga percaya DAP dan PKR yang sekian lama konsisten bersama Perdana Menteri akan terus berdiri teguh dalam menangani isu yang sedang dimainkan sekarang,” jelasnya.