KOTA KINABALU: Sebanyak 31 buah rumah setinggan di kawasan Kota Kinabalu telah dirobohkan menerusi Operasi Perobohan Koloni Setinggan Bil:138/2024, Siri: 10/2024 baru-baru ini.
Operasi tersebut telah dilaksanakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu.
Polis Kota Kinabalu dalam satu kenyataan media semalam berkata, operasi tersebut adalah bertujuan untuk memastikan kawasan bebas daripada penempatan haram demi meningkatkan kesejahteraan dan keselamatan masyarakat.
“Operasi ini dirancang dengan kerjasama erat semua agensi kerajaan yang terlibat.
“Antara agensi kerajaan yang terlibat termasuklah Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Sabah Electricity (SE), Jabatan Tanah dan Ukur (JTU), serta Jabatan Ketua Menteri (JKM).
“Operasi ini berjalan lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini dan mencerminkan komitmen berterusan PDRM IPD Kota Kinabalu untuk menangani isu sosial, mencegah jenayah, serta memastikan pembangunan kawasan yang teratur,” tegas kenyataan itu.