KOTA KINABALU: Kerajaan negeri Sabah bercadang untuk menyusun serta mencantikkan semula Pulau gaya bagi menjadikan kawasan pulau tersebut sebagai sebahagian kawasan tarikan pelancong di negeri ini.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, untuk tujuan itu, kerajaan turut bercadang untuk menyuusn semula penempatan di Pulau Gaya khususnya yang melibatkan kawasan setinggan.
“Kawasan-kawasan setinggan umpamanya, kita kena susun dan kita akan fikirkan nanti cadangan untuk menempatkan mereka di tanah besar negeri Sabah melalui pembinaan rumah oleh kerajaan.
“Kerana kita mahu nampak Pulau Gaya ini sebagai tarikan pelancong, orang datang Kota Kinabalu, dia tengok pulau ini. Tapi jika keadaan tidak menentu, banyak setinggan, rumah tidak sepatutnya didirikan, maka ia akan mencemarkan sedikit usaha kita untuk menarik pelancong dan juga untuk mencantikkan pulau ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya ketika merasmikan Majlis Kembara Kasih Ramadan di Pulau Gaya pada Ahad.
Sementara itu, bagi proses pemindahan penduduk tempatan yang menjadi setinggan di Pulau Gaya, Hajiji berkata, kerajaan sudah pun merancang untuk membina rumah Program Perumahan Rakyat (PPR) di kawasan Sepanggar.
“InsyaAllah kalau ada peruntukan, kita akan bina dan tempatkan orang tempatan yang menjadi setinggan di Pulau Gaya ini ke sana,” jelasnya.
Untuk rekod, terdapat lebih tujuh kampung dan lebih 4,000 penduduk yang kini sedang menduduki kawasan Pulau Gaya tersebut.