KOTA KINABALU: Seramai 100 anak-anak yatim dan golongan asnaf Dun Darau diraikan membeli baju raya di Pusat Beli-belah Servay Hypermarket Likas di sini, hari ini.
Anak-anak yatim dan asnaf dibawa membeli-belah pakaian raya oleh isteri Ketua Menteri Sabah, Datin Seri Panglima Juliah Salag bersama-sama dengan Ketua Wanita Gagasan Rakyat, Datuk Redonah Bahanda yang juga Setiausaha Politik dan Naib Ketua Wanita Gagasan Rakyat, Aziah Atoh.
Turut hadir sama Ketua Pengarah Eksekutif Kim Teck Cheong Consolidated Berhad, Datuk Dexter Lau dan Pengarah UPPN Sabah Datuk Awang Kadin Tang serta anak yatim dan asnaf.
Setiap seorang membeli baju raya berharga RM200 dan sumbangan adalah daripada
Kim Teck Cheong Consolidated Berhad (KTC) yang menganjurkan Program Amal Berbuka Puasa di seluruh Sabah sepanjang bulan Ramadan.
Menurut Redonah program itu adalah satu inisiatif bagi mendekati dan menyantuni komuniti khasnya golongan yang kurang berkemampuan untuk membeli keperluan hari raya.
“Kita berharap untuk tahun seterusnya, kita mampu meneruskan dan mengadakan lebih banyak program seumpamanya ini, berkongsi dengan mereka di bulan Ramadan ini.
“Program ini juga melibatkan isteri-isteri wakil rakyat bersama-sama dengan golongan asnaf dan anak-anak yatim membeli barangan keperluan untuk hari raya.
“Rakyat boleh menilai setiap khidmat atau sumbangan yang di-sampaikan walaupun sekecil mana sumbangan itu dan setiap sumbangan dilakukan dengan niat yang suci pasti akan dihargai”, katanya ketika ditemui pada Program Shopping Raya bersama 100 orang anak-anak yatim dan golongan asnaf di Servey Hypermarket Likas di sini, hari ini.
Sementara itu, isteri Ketua Menteri, Datin Seri Panglima Juliah Salag menyeru sektor swasta dan syarikat milik kerajaan (GLC) supaya memainkan peranan proaktif dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka.
Beliau berkata sektor swasta dan GLC terbabit perlu sentiasa menghulurkan pelbagai jenis bantuan kepada masyarakat setempat, selain bekerjasama dengan kerajaan secara konsisten dalam menjayakan usaha itu.
“Bagi mengelak perkara tidak diingini berlaku ke atas anak-anak sepanjang musim panas dan berjerebu ini.
“Saya berharap ibu bapa dapat memberi perhatian dan memantau anak-anak kerana kita di sini mengalami masalah jerebu dan cuaca panas yang berterusan sejak akhir-akhir ini,” tegasnya.