SANDAKAN: Seorang lelaki ditemukan maut selepas dilaporkan jatuh dan hilang di laut kerana terlibat dalam kemalangan bot bertembung di Pulau Tanjung Batu, kelmarin.
Mangsa, Simran Asarap, 23 tahun ditemui oleh orang awam ketika operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan sekitar jam 3 petang kelmarin.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian jatuh dan hilang itu pada jam 9.26 pagi.
“Operasi SAR dimulakan pada jam 7.30 pagi dan mangsa berjaya ditemui oleh orang awam pada jam 3.34 petang di 1 kilometer (km) dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pihak polis dan seterusnya dibawa ke rumah ahli keluarga terdekat,” katanya.
Operasi kemudian ditamatkan pada jam 4.40 petang.