TAWAU: Polis Daerah Tawau berjaya menggagalkan seorang lelaki warga asing selepas dikesan cuba menyeludup 500.53 gram dadah jenis syabu yang disorok di dalam bekas termos air panas pada 29 Mac lalu.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Bin Hussin berkata, dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang seorang suspek penganggur berusia 29 tahun itu dipercayai dalam perjalanan ke Indonesia melalui Jeti Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) lama, Tawau.
Katanya, tangkapan dan rampasan dilakukan anggota Cawangan Khas, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau bersama sepasukan anggota dari Balai Polis Tawau selepas menerima maklumat dan risikan yang dijalankan di kawasan berkenaan.
“Pihak Polis dari Cawangan Khas bersama sepasukan anggota dari Balai Polis Tawau telah menerima maklumat dan menjalankan pemeriksaan ke atas barang seorang penumpang yang ingin menuju ke Sungai Aji Kuning melalui Jeti Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) lama.
“Semasa pemeriksaan dibuat, pihak Polis telah menemui satu bekas termos air panas berwarna merah jambu mengandungi paket plastik lutsinar berisi ketulan-ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu seberat 500.53 gram dalam sebuah bakul raga yang dipegang suspek semasa ditahan,” katanya.
Hasil soal siasat awal mendapati, dadah yang dibekalkan dari luar Daerah Tawau untuk di bawa ke negara jiran dan sekiranya sampai akan di janjikan sejumlah wang tunai matawang asing.
Jelasnya, suspek direman selama 7 hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Tambahnya, pihak Polis masih menjalankan siasatan lanjut termasuk mengesan rangkaian kegiatan pengedaran atau sindiket lain yang terlibat.
“Selain itu, Ibadah puasa di bulan Ramadan yang merupakan tanggungjawab bagi setiap umat Islam yang menunaikannya tidak akan sesekali menjadi penghalang bagi Pasukan PDRM khususnya Polis Daerah Tawau dalam menjalankan amanah dan tanggungjawab dalam memastikan keamanan dan kesejahteraan masyarakat di daerah ini sentiasa terjamin,” katanya.