BEAUFORT: Pihak kerajaan diharap untuk dapat memberi pengiktirafan kepada jasa pasukan Bomba dan Penyelamat yang menjadi ‘frontliner’ untuk memadam kebakaran yang kerap berlaku di negeri ini, lebih-lebih lagi pada musim kemarau yang melanda hampir seluruh negara.
Ketua Pemuda Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Bahagian Beaufort, Mohd Shahril Osin merakamkan penghargaan kepada anggota-anggota bomba atas kesungguhan mereka dalam menjalankan tugas di bulan Ramadan dan mudahan mereka mendapat ganjaran daripada Allah SWT.
“Anggota bomba yang bertugas wajar diberi pujian dan penghargaan kerana mereka langsung tidak mengeluh namun tetap cekal dan gigih melaksanakan tugas tanpa masyarakat menyedari liku-liku dan cabaran mereka.
“Saya berharap kerajaan akan memberi pengiktirafan kepada pasukan ‘frontliner’ (barisan hadapan) atas jasa mereka kerana tanpa pasukan itu kemungkinan banyak harta benda yang akan musnah dalam kejadian jika tidak dikawal,” katanya dalam satu kenyataan media.
Sementara itu, Shahril turut menasihatkan masyarakat di daerah Beaufort agar menghentikan segera kegiatan pembakaran terbuka kerana dikhuatiri akan menyebabkan berlaku kebakaran yang lebih besar sekali gus menyebabkan pencemaran udara selain menyebabkan kemusnahan.
“Sekiranya berlaku kebakaran yang besar ia sudah tentu memberi bebanan besar kepada anggota bomba di daerah ini, lebih-lebih lagi di bulan Ramadan,” tegasnya.
Justeru itu, beliau merayu supaya masyarakat peka dan simpati terhadap anggota yang bertugas di bulan puasa di mana mereka terpaksa membanting tulang dan keringat bagi memadamkan kebakaran yang disengajakan walhal banyak lagi kes kecemasan lain yang perlu diberi perhatian.
“Jangan pandang ringan api kecil kerana dengan keadaan cuaca ketika ini
ditambah dengan angin, ia tentunya akan menyebabkan api merebak dengan
cepat lebih-lebih lagi di kawasan yang kering, dan lebih mencabar jentera bomba
tidak dapat masuk ke kawasan paya gambut.
“Oleh itu marilah kita jadi masyarakat yang prihatin, dengan mengelak
melakukan perkara yang memudaratkan lebih-lebih lagi di bulan puasa bagi
bersama-sama menjaga alam sekitar yang sedia ada demi memastikan
kelangsungan hidupan liar di daerah ini,” katanya.
Masyarakat juga digesa supaya memahami situasi ketika ini yang mana kemarau telah menyebabkan sumber bekalan air semakin berkurangan dan keadaan itu turut memberi kesan dalam usaha memadamkan kebakaran.
“Jangan jadikan perkara ini sebagai tabiat setiap kali menjelang kemarau dengan melakukan pembakaran kerana tindakan itu menyusahkan banyak pihak.
“Ingatlah, jerebu boleh membawa kemudaratan terhadap kesihatan dan sebaiknya jaga kesihatan sepanjang Ramadan ini,” ujarnya.