BEAUFORT: Seorang wanita warga emas yang dilaporkan hilang sejak Khamis lalu ditemukan meninggal dunia di jarak 1.7 kilometer (km) belakang rumah mangsa di Kampung Binunuk, kelmarin.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beaufort, Mohammad Hasbullah Nenggok berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai insiden itu pada jam 10 pagi kelmarin.
“Bilik Kawalan BBP Beaufort menerima panggilan daripada pihak polis melaporkan terdapat seorang perempuan dikhuatiri hilang di hutan.
“Menurut maklumat pengadu, mangsa keluar ke kebun pada Khamis kira-kira jam 9.30 pagi. Mangsa kemudian disedari hilang pada waktu petang kerana tidak pulang ke rumah,” katanya dalam kenyataan media semalam.
Setelah melakkan pencarian, mangsa Kamariah Sungkim, 74 tahun dijumpai oleh agensi penyelamat di jarak 1.7km dari belakang rumah mangsa pada jam 2.52 petang kelmarin.
“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak polis di lokasi kejadian dan seterusnya dibawa pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Operasi kemudian ditamatkan pada jam 3 petang.