KOTA KINABALU: Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) melaporkan sebanyak dua kes kelesuan haba akibat cuaca panas yang melanda negeri Sabah dalam tempoh 1 Januari sehingga 12 Mac 2024.
Pengarah JKNS, Datuk Dr. Asists Sanna berkata, kedua-dua kes itu berlaku di Beaufort pada minggu ke-4 dan ke-11.
“Tiada kes kekejangan haba, strok haba ataupun patukan ular dilaporkan sepanjang pemantauan,” katanya dalam sebuah kenyataan semalam.
Jelasnya, kes kelesuan haba yang pertama melibatkan seorang lelaki berumur 50 tahun yang mengalami gejala ketika melakukan kerja menebang pokok.
Kes kedua pula melibatkan seorang pelajar lelaki berumur 18 tahun yang mengalami gejala ketika mengikuti pertandingan bola sepak.
“Kedua-dua kes telah mendapatkan rawatan di Jabatan Kecemasan Hospital Kerajaan, telah sembuh, dan dibenarkan pulang pada hari yang sama,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mengingkatkan orang ramai untuk minum air kosong secukupnya selain mengurangkan pengambilan minuman berkafein, alkohol dan bergula.
“Di bulan Ramadan ini, bagi yang berpuasa seharusnya minum air secukupnya iaitu lapan gelas air sehari diantara sewaktu berbuka puasa sehingga waktu sahur.
“Gunakan pendingin hawa atau kipas untuk menyejukkan badan, pakai pakaian yang ringan, longgar dan berwarna terang serta memakai topi atau payung untuk melindungi diri dari pancaran haba matahari sekiranya berada di luar.
“Sentiasa peka dengan kehadiran haiwan liar seperti ular yang mana ketika cuaca panas, ular terpaksa keluar daripada habitat untuk mencari tempat yang redup dan banyak sumber makanan seperti dalam rumah dan kawasan sekitar,” katanya.
Tambahnya, cuaca panas yang terlampau boleh menyebabkan seseorang kerap berpeluh lalu menyebabkan cecair dalam badan berkurangan.
Antara gejala penyakit berkaitan cuaca panas adalah badan terasa kering dan panas, denyutan jantung menjadi cepat, pening, mual dan boleh mengakibatkan sawan ataupun pengsan.
“Kanak-kanak dan warga emas adalah golongan yang paling berisiko mendapat masalah kesihatan daripada keadaan ini.
“Segeralah berjumpa doktor bagi mendapatkan rawatan sekiranya mengalami tanda-tanda awal kekejangan haba, kelesuan haba, strok haba dan sekiranya dipatuk ular,” jelasnya.