KOTA KINABALU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan berjaya menahan sebuah bot kayu serta sebuah lori kargo yang sedang menjalankan aktiviti penyeludupan minuman keras tidak bercukai di perairan Menumbok, malam semalam.
Pengarahnya, Laksamana Pertama Maritim, Datuk Che Engku Suhaimi Che Engku Daik berkata, melalui maklumat perisikan, bot peronda Maritim Negeri Sabah dan WP Labuan yang menjalankan Ops Khas telah mengesan pergerakan sebuah bot yang bergerak laju di timur laut Pulau Belangkasan menuju ke Muara Sungai Sarap, Menumbok pada kira-kira pukul 3.30 pagi.
Katanya, dalam keadaan bergelap, bot peronda Maritim Malaysia telah bertindak mengekori bot pancung tersebut sehingga ke tebing Sungai Sarap dan mendapati bot terbabit sedang menjalankan aktiviti pemunggahan barang ke lori kargo.
“Ketika serbuan dibuat, kesemua suspek bertindak melarikan diri ke kawasan paya bakau berhampiran dan meninggalkan bot, lori kargo serta muatan yang dipunggah.
“Usaha menjejaki suspek yang berada di lokasi pemunggahan gagal berikutan keadaan gelap dan kawasan berpaya,” katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.
Walau bagaimanapun, pemeriksaan selanjutnya mendapati muatan tersebut berupa minuman keras tidak bercukai pelbagai jenama dianggarkan kira-kira 300 karton dipercayai cuba diseludup masuk dari Pulau Labuan.
Katanya, Bot Kayu dan Lori Kargo terbabit ditahan bersama muatan barangan dan diiring ke Maritim Negeri Sabah dan WP Labuan untuk siasatan lanjut.
“Kes akan disiasat dibawah Akta Kastam 1967 dan Enakmen Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002 (JPDS) kerana membawa barang-barang tidak bercukai dan menggunakan bot tidak berdaftar.
“Nilai rampasan termasuk bot bersama enjin,lori kargo dan muatan dianggarkan lebih RM350 ribu,” tambahnya.