KOTA KINABALU: Kawasan pedalaman Sabah diberi amaran akan mengalami ribut petir, hujan lebat dan angin kencang hingga jam 7 malam ini di beberapa tempat.
Jabatan Metreologi Malaysia (MET Malaysia) dalam satu kenyataan berkata, antara kawasan pedalaman yang terlibat adalah, daerah Nabawan, Keningau dan Tambunan.
“Manakala, bagi kawasan Pantai Barat pula, ribut dijangka akan berlaku di daerah Papar, serta kawasan Pantai Timur di Sandakan dan Tongod.
“Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 22mm per jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran,” katanya menerusi satu kenyataan media di sini, hari ini.
Sementara itu, bagi negeri Sarawak ribut ini dijangka akan berlaku di Sibu (Selangau), Mukah (Daro, Matu, Dalat dan Mukah), Kapit (Song dan Kapit), Bintulu (Tatau), Miri (Telang Usan dan Marudi) dan Limbang (Limbang).
Manakala ribut di kawasan Semenanjung pula dijangka meliputi negeri Kedah (Yan, Kuala Muda, Kulim dan Bandar Baharu) • Pulau Pinang • Perak (Kerian, Larut, Matang Dan Selama, Hulu Perak, Kuala Kangsar, Manjung, Kinta, Perak Tengah, Kampar, Bagan Datuk dan Hilir Perak) • Selangor (Sabak Bernam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Klang, Petaling, Kuala Langat dan Sepang) • WP Putrajaya • Negeri Sembilan (Jelebu, Kuala Pilah, Jempol dan Tampin) • Johor (Muar, Batu Pahat dan Pontian).