PUTATAN: Ahli Peladang Sabah digalakkan untuk menerokai bidang industri hiliran agar dapat mempelbagai inisaitif untuk membantu menaikkan taraf sosio ekonomi ahli-ahli pertubuhan peladang di negeri ini.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, penerokaan kepada industri itu penting memandangkan ketika ini negara masih mengimport sejumlah makanan dari luar negara bagi memenuhi keperluan tempatan.
“Ahli Peladang tidak boleh sekadar menghasilkan bahan mentah untuk dipasarkan, sebaliknya mempelbagaikan hasil keluaran supaya dapat memenuhi permintaan pasaran.
“Sebagai contoh, penghasilan pisang dan nanas yang boleh diproses menjadi makanan ringan seperti kerepek.
“Dengan meneroka peluang seperti ini, Ahli Peladang akan turut dapat meningkatkan sosio ekonomi keluarga,” katanya ketika berucap pada Perasmian Majlis Ramah Mesra Pemimpin Bersama Ahli Pertubuhan Peladang Daerah Putatan di tapak Mobile Food Kiosk, semalam.
Sementara itu, Hajiji turut berharap agar lebih ramai Ahli Pertubuhan Peladang menceburi bidang perniagaan dalam agromakanan dengan memperolehi bekalan bahan mentah dari daerah lain untuk dijadikan produk usahawan yang boleh dipasarkan di Kota Kinabalu.
“Cari jalan dan peluang bekerjasama dengan Pihak Berkuasa Tempatan atau pihak swasta dengan mewujudkan kerjasama pintar dalam semua aspek rantaian nilai sektor agromakanan,” katanya.