KOTA KINABALU: Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Api-Api bakal melancarkan sesi ‘Townhall’ bagi mengenalpasti isu-isu berbangkit di kawasan selain turut fokus menjadikan parti itu sebagai platform kepada anak muda di negeri ini.
Ketua Pemuda Gagasan Rakyat Api-Api, Syahrul Safwan Najwan Faisyal berkata, pihaknya kini giat melancarkan pelbagai inisiatif berasaskan program berkomuniti khususnya yang melibatkan anak muda.
“Kita akan fokus dengan komuniti di sini (Api-Api) dan kita juga fokus menarik minat anak-anak muda di kawasan ini.
“Oleh itu, kita akan melancarkan beberapa program yang akan datang seperti sesi ‘TownHall’ bersama peniaga-peniaga di kawasan ini untuk kita cari tahu isu-isu berbangkit yang boleh kita bantu selesaikan dengan membawa isu berkenaan ke perhatian pihak kementerian dan agensi-agensi yang berkaitan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media dalam Program ‘Walkabout’ sempena Sambutan Tahun Baru Cina anjuran Pemuda Gagasan Rakyat Api-Api di Kota Kinabalu pada Ahad (28 Jan).
Safwan yang juga Pengerusi Penganjur program berkata, antara isu yang sudah dikenalpasti di kawasan Api-Api adalah, kadar pengangguran di kalangan belia yang amat tinggi dan tidak hanya berlaku di kawasan itu tetapi hampir seluruh Sabah.
Sementara itu, mengulas mengenai program, Ketua Gagasan Rakyat Bahagian Api-Api, Datuk Faisyal Datuk Yusof Hamdain Diego berkata, penerimaan orang ramai terhadap kewujudan program dan parti itu di Api-Api adalah sangat menggalakkan.
“Ramai muda mudi dan kita tengok parti ini adalah parti untuk semua dan bukannya parti untuk satu bangsa sahaja.
“Saya agak terkejut dan pada masa sama gembira melihat program ini mendapat sambutan yang cukup baik dan saya mendengar ramai orang awam bertanya mengenai borang keahlian parti. Jadi itu merupakan petanda baik kepada parti ini,” katanya ketika ditemui.
Pada program itu, sebanyak 1,200 beg cenderahati dan kalendar turut diagihkan kepada orang ramai yang berada di sekitar Jalan gaya.
Turut hadir dalam program itu, Ketua Wanita, Salmi Sarinoh, Ketua Beliawanis, Emmie Martin Idang serta seluruh barisan Ahli Jawatankuasa Gagasan Rakyat Api-Api.