KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) telah mewujudkan dua jawatankuasa baharu bagi memastikan program pembangunan dapat dilaksanakan dengan lebih efektif dan efisien.
Menterinya, Datuk Jahid Jahim berkata, yang pertama adalah Jawatankuasa Pemandu Program Pembangunan yang dipengerusikan oleh beliau sendiri.
“Manakala, yang kedua adalah Jawatankuasa Pemantauan Program Pembangunan yang dipengerusikan oleh Setiausaha Tetap Kementerian, Datuk Norlijah Danin,” katanya ketika berucap pada Majlis Amanat Menteri di sini, hari ini.
Selain itu, katanya beliau berharap agar capaian real-time data daapt diakses dengan pantas dan mudah.
“Perkara ini saya tekankan kerana dalam kita menelusuri kemajuan teknologi dan Revolusi Industri 4.0, pemantapan pengurusan data adalah amat penting bagi kita mengiktiraf, mencerap dan menelusuri data terkini serta menetapkan budaya pengurusan data dalam melaksanakan program, dasar dan projek di Kementerian ini. Kementerian ini dapat membantu kerajaan dalam membuat keputusan dan dasar.
“Justeru, saya berharap agar semua yang diberi tanggungjawab untuk memastikan data Sistem Aplikasi Profil Kampung Sabah (SAPKS) dan dashboard pembangunan sentiasa dikemaskini dari semasa ke semasa,” tegasnya.
Tambah Jahid, beliau yakin dengan kekuatan pasukan yang ada, kementerian itu akan berjaya mengharungi cabaran yang dihadapi negeri pada masa ini dan memberikan yang terbaik untuk memastikan agenda pembangunan luar bandar akan terus dapat dilaksanakan.
“Kita mempunyai data yang tepat dan sentiasa dikemaskini supaya menjadi satu rujukan kepada kerajaan.
“Kerana itu, di dalam kita memberikan perkhidmatan kepada rakyat, kita hendaklah pastikan sentiasa ada penambahbaikan sama ada dari segi sistem, peraturan, proses kerja, serta penghasilannya agar ia benar-benar member manfaat kepada rakyat,” tambahnya.