KOTA KINABALU: Jentera kerja pihak konsesi Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah sudah diarahkan untuk melakukan kerja-kerja pembaikan jalan di Jalan Kampung Jaya Baru Kinabatangan.
Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Shahelmey Yahya berkata, sebagai maklum balas kepada pertanyaan tentang keadaan jalan yang rosak itu beliau telah pun berbincang mengenai isu jalan tersebut dengan pengarah JKR pada Isnin lalu.
“Pengarah JKR telah telah mengarahkan pihak konsesi untuk menggerakkan pasukan kerja dan jentera kerja mereka ke kawasan yang terlibat untuk melakukan kerja-kerja pembaikan yang sewajarnya agar keadaan jalan lebih selamat untuk digunakan,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
Shahelmey pada masa sama turut memaklumkan bahawa jajaran Jalan tersebut adalah termasuk di dalam jajaran Lebuhraya Pan Borneo yang akan dinaiktaraf dijangka bermula dalam tahun ini.
“Keadaan struktur jalan memang sudah uzur dan hanya dapat dipulihkan dengan melaksanakan kerja menaiktaraf secara major (melalui pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo kelak).
“Keadaan cuaca yang basah akibat musim hujan dengan jumlah trafik yang tinggi terus memberi tekanan kepada strkutur jalan yang telah lama melebihi had tempoh reka bentuknya (lemah),” jelasnya.
Namun demikian, katanya, sementara menanti bermulanya pakej Lebuhraya Pan Borneo tersebut, pihak JKR melalui konsesi yang dilantik, diarah untuk melakukan kerja-kerja selenggaraan dan pembaikan berkaitan.
“Sehubungan dengan ini juga, saya telah meminta Pengarah JKR untuk meminta kerjasama semua jurutera daerah dan jurutera penyelenggaraan jalan berserta syarikat-syarikat konsesi penyelanggaraan jalan untuk sentiasa proaktif dalam memantau keadaan jalan-jalan di bawah jagaan mereka dari semasa ke semasa.
“Laporan-laporan keperluan hendaklah sentiasa dikemaskini untuk tujuan pengurusan dan keperluan memohon peruntukan tambahan sekiranya ianya menjadi kekangan keperluan kerja,” tegasnya.
Sumber: FB Shahelmey