PENAMPANG: Enam blok rumah pekerja berhampiran Restoran Living Seed Vegeterian, Jalan Penampang Bandar baru Penampang dilaporkan telah terbakar 100 peratus.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang, Zeno Tinggalan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan itu pada jam 4.52 petang hari ini.
“Kebakaran melibatkan enam blok rumah pekerja jenis tidak kekal, iaitu empat blok dengan satu blok 20 pintu dan dua blok lagi dengan satu blok 10 pintu telah terbakar 100 peratus.
“BBP Penampang menjalankan operasi pemadaman menggunakan dua aliran 300 kaki, empat pancutan dan sumber air dari pili bomba berhampiran,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
Manakala BBP Kota Kinabalu pula katanya, menjalankan operasi pemadaman menggunakan satu aliran 500 kaki dengan dua pancutan sumber air dari “Water Tanker’ Bomba.
“Pasukan Bomba berjaya menyelamatkan empat buah rumah pekerja berhampiran daripada kawasan rumah terbakar dan dilaporkan tiada mangsa terlibat,” katanya.
Operasi kemudian dilaporkan terkawal pada jam 5.50 petang dan ditamatkan pada jam 8.20 malam.