KOTA KINABALU: Seorang anak kepada ahli politik di Sabah didakwa di Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu hari ini atas dua pertuduhan, iaitu menyamar sebagai Ketua Pesuruhjaya dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya Operasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Aries Ryan Philip Among, 30 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan utama dan alternatif yang dibacakan di hadapan hakim Mahkamah Sesyen, Jason Juga.
Bagi pertuduhan utama yang pertama, Aries didakwa menipu Mohd Zaidi Abdullah, dengan menyamar sebagai Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahya melalui aplikasi whatsapp pada 24 jun 2023 jam 11.46 pagi di sebuah rumah di perumahan Desa Aman, ibu pejabat polis di Jalan Kepayan.
Aries didakwa mendorong Zaidi memasukkan RM8,000 ke dalam akaun bank milik orang lain untuk sumbangan lembu korban.
Bagi pertuduhan kedua, Aries didakwa menipu Zaidi dengan menyamar sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki menerusi whatsapp pada 30 jun 2023 jam 11.22 pagi di lokasi sama.
Aries didakwa telah mendorong Zaidi untuk memasukkan wang sejumlah RM27,000 untuk sumbangan menghadiri konvokesyen anak lelaki Azam di Sydney, Australia dan RM14,300 lagi untuk tujuan pinjaman.
Manakala bagi pertuduhan alternatif pertama dan kedua, Aries didakwa menipu Zaidi melalui whatsap dan mendorongnya untuk memasukkan kesemua wang berjumlah rm49,300 ke dalam tiga akaun berbeza.
Kedua-dua pertuduhan alternatif dibuat mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Mahkamah kemudian menetapkan 14 Februari untuk pengurusan kes dan Aries dibenarkan diikat jamin RM40,000 dengan RM5,000 deposit.
Mahkamah seterusnya memerintahkan tertuduh melaporkan diri di pejabat SPRM dua bulan sekali, tidak mengganggu saksi pendakwaan dan pasport disita oleh mahkamah.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Nurul Izzati Sapifee manakala tertuduh diwakili Peguam Muhmad Amirul Amin.
Terdahulu, pihak pendakwaan mencadangkan jaminan RM40,000 dan beberapa syarat lain sekiranya mahkamah memberikan jaminan kepada tertuduh.
Amirul bagaimanapun, memohon jumlah ikat jamin direndahkan atas alasan tertuduh bekerja sendiri dengan pendapatan antara RM1,500 dan RM2,500 sebulan. Katanya tertuduh sudah berkahwin, mempunyai seorang anak dan sedang menjaga ibunya.