TELUPID: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) terbuka untuk menerima kemasukan semula bekas-bekas pemimpin dan ahli parti itu ke dalam UPKO.
Presidennya, Datuk Ewon Benedick berkata, parti itu sentiasa mengalu-alukan mereka yang ingin menyertai parti itu.
“Seperti yang saya nyatakan sebelum ini, selaku Presiden UPKO, kita mengalu-alukan kemasukan semula bekas-bekas ahli termasuk yang pernah menjadi pemimpin tertinggi parti.
“Kita telah mengadakan beberapa program pada bulan lepas iaitu melibatkan mantan timbalan Ketua Menteri, mantan wakil-wakil rakyat UPKO yang terdahulu dan perbincangan masih giat dijalankan.
“Saya amat pasti bila tiba masanya kita akan mengadakan acara kemasukan semula mereka ke dalam parti,” katanya dalam majlis Sambutan Rumah Terbuka Krismas dan Tahun Baharu 2024 anjuran UPKO, di Dewan Majlis Daerah Telupid, di sini, hari ini.
Bahkan, Ewon menambah bahawa parti itu turut menerima kemasukan ahli-ahli baharu khsususnya di kalangan belia.
“Ini akan menjadikan UPKO satu parti yang terbuka kepada semua golongan masyarakat,” tegasnya.