
TUARAN: Kisah pesakit meninggal dunia kerana tidak mendapat rawatan sewajarnya di Hospital Tuaran di sini, berulang lagi apabila seorang remaja disahkan meninggal dunia selepas dirujuk ke Hospital Queen Elizabeth (HQE), Kota Kinabalu pada 29 Disember lalu.
Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata, remaja, Aidil @ Erjuand Christian, 18 tahun dari Kampung Buleing, Tamparuli telah dibawa oleh keluarganya untuk mendapatkan rawatan di Hospital Tuaran kerana mengalami demam panas pada 25 Disember lalu.
“Saya dimaklumkan keluarga mangsa, selepas pemeriksaan diberikan kepada remaja terbabit, pesakit dibenarkan pulang oleh Hospital Tuaran kerana tidak mengalami sakit teruk.
“Bagaimanapun, pada 28 Disember sekali lagi remaja terbabit dibawa ke Hospital Tuaran kerana demam panas masih tidak berkurangan dengan peningkatan suhu badan.
“Selepas pemeriksaan oleh doktor Hospital Tuaran, mangsa dibenarkan pulang ke rumah kerana menurut pihak hospital remaja itu tidak mengalami sakit teruk,” katanya selepas menziarahi keluarga mangsa di Kampung Buleing di sini.
Katanya, remaja tersebut sekali lagi dibawa keluarganya untuk mendapatkan rawatan di Hospital Tuaran kerana gusinya mengalami pendarahan pada 29 Disember.
“Pihak Hospital Tuaran kemudian mengambil keputusan untuk membawa remaja tersebut ke HQE. Selepas diperiksa, Doktor mengatakan bahawa Aidil mengalami demam berdarah dan sangat kritikal. Pada hari yang sama juga, Aidil telah disahkan meninggal dunia,” katanya.
Pada masa yang sama, Madius kesal dengan sikap segelintir masyarakat yang menganggap beliau hanya mempolitikkan isu berkenaan apabila menimbulkan kelemahan perkhidmatan Hospital Tuaran.
“Ingin saya tegaskan disini soal nyawa manusia bukan perkara yang boleh dimainkan begitu sahaja.
“Sebelum ini, saya ada menyuarakan kebimbangan mengenai kekurangan Doktor Pakar dan kekurangan peralatan untuk memberi perkhidmatan yang lebih baik dalam mengesan penyakit di Hospital Tuaran.
“Apabila begitu, ada pihak mengatakan saya ini tidak senang dengan Doktor di hospital itu. Jika ada beranggapan begitu anda sudah silap besar. Apa yang saya mahu adalah ingin melihat Hospital Tuaran menjadi Hospital pakar dan mempunyai Doktor Pakar, begitu juga soal peralatan mengesan penyakit,” tegasnya.