KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah memeterai satu memorandum persefahaman (MoU) bersama Hannam University (HNU), Korea Selatan bersempena dengan kunjungan delegasi HU ke UMS.
Kerjasama antara kedua-dua universiti tersebut dimeterai dalam satu majlis menandatangani MoU antara UMS dan HNU yang berlangsung di Bangunan Canselori UMS.
UMS diwakili oleh Naib Canselor, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor menandatangani dokumen MoU tersebut, manakala HNU diwakili oleh Dekan LINC 3.0 (LINC – Leaders in Industry-University Cooperation), Prof. Gu Hwan Wan.
Menerusi kerjasama tersebut, kedua-dua institusi akan mengadakan kolaborasi melibatkan projek penyelidikan bersama, program pertukaran pelajar, program pertukaran budaya dan bahasa, penganjuran bengkel dan persidangan antarabangsa, pemindahan teknologi dan inovasi, program latihan peringkat global, penganjuran bersama acara kebudayaan dan pendidikan, dan inisiatif alam sekitar dan kelestariannya.
Terdahulu, Datuk Dr. Kasim ketika menyambut delegasi HNU berkata, UMS sememangnya berhasrat untuk melaksanakan lebih banyak kolaborasi dan perjanjian persefahaman seumpamanya.
Beliau turut mengalu-alukan HNU untuk mengadakan kerjasama tidak terhad di Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP), tetapi turut meneroka potensi kerjasama khususnya berkaitan bidang nic universiti seperti akuakultur dan sains marin.
Hadir sama pada majlis tersebut Dekan FPEP, Prof. Madya Dr. Mohd Rahimie Abd. Karim dan Pengarah Unit Penyelidikan dan Pembangunan Keusahawanan FPEP, Prof. Madya Mat Salleh Ayub.