KOTA KINABALU: Kerajaan negeri Sabah tidak pernah bersetuju dan tidak pernah menandatangani sebarang tuntutan Indonesia mengenai isu Ambalat menerusi Perjanjian Laut Sulawesi.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, sempadan maritim yang telah ditandatangani melalui Triti Laut Sulawesi hanyalah melibatkan 12 batu nautika dan tidak mendatangkan kerugian kepada negeri Sabah.
“Kita tidak pernah bersetuju dengan tuntutan Indonesia di Laut Sulawesi atau Ambalat yang kaya dengan gas dan minyak, sekarang masih lagi di dalam perundingan.
“Baru-baru ini pada 16 dan 17 November yang lalu, satu perundingan juga diadakan di Indonesia dan kita telah dilibatkan secara aktif yang diwakili oleh Setiausaha kerajaan negeri, peguam besar negeri Sabah dan pengarah tanah.
“Belum ada pencapaian apa-apa, jadi pendirian kita tegas dalam perkara itu dimana kita tidak akan sewenang-wenangnya memberikan hak kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senallang, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Warisan) yang meminta penjelasan secara terperinci mengenai rundingan dengan Indonesia berkaitan Pulau Sebatik di bawah Perjanjian Laut Sulawesi dan apakah yang dituntut oleh Indonesia.
Hajiji terdahulu berkata, Malaysia dan Indonesia komited menyelesaikan persempadanan darat dan persempadanan laut wilayah secara menyeluruh dan setakat ini tidak ada apa-apa persetujuan dibuat melalui platform-platform mesyuarat dua hala yang berkaitan Pulau Sebatik dan Laut Sulawesi.
“Kerajaan Negeri Sabah kekal dengan pendirian jelas, konsisten dan tidak akan berganjak dari apa jua cubaan negara jiran bagi memastikan persempadanan negara khususnya negeri Sabah sentiasa dipelihara dan tidak tergugat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada mesyuarat penggal keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Ke-16 di DUN Sabah pada Isnin.