KUALA LUMPUR: Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa agar Akta Lompat Parti yang diwartakan pada 6 September lalu dikaji semula, susulan didakwa terdapat banyak kelompongan.
Sebagai contoh katanya, dalam kes yang masih belum diputuskan oleh mahkamah terhadap empat Ahli Parlimen Bersatu yang bertindak menyokong Kerajaan Perpaduan.
“Kes itu masih berjalan dan masih menunggu keputusan mahkamah kerana di peringkat Speaker (Dewan Rakyat) memutuskan bahawa mereka tidak melanggar (peraturan parti),” katanya kepada pemberita dalam sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Khas Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu di Ibu Pejabat Perikatan Nasional di sini, semalam.
Muhyiddin merujuk kepada tindakan Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah; Datuk Mohd Armizan (Papar), Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi) dan Datuk Jonathan Yasin (Ranau) yang bertindak keluar parti pada Januari lalu.
Bersatu turut menyifatkan yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul terkhilaf dalam memutuskan tiada kekosongan empat kerusi Parlimen dimenangi bekas ahli parti itu, atas tiket Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Tegas Muhyiddin, Johari jelas membuat tafsiran khilaf berhubung Perkara 49A (3) Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, segala keputusan yang dibuat Johari boleh dipersoalkan kerana beliau adalah orang parti yang memerintah kerajaan.
“Kalau kita katakan mereka sudah langgar Perlembagaan, melewati batas, tapi itu pandangan kita, mungkin tak sama dengan pandangan Speaker Dewan Rakyat, sedangkan dalam Perlembagaan parti Bersatu, tafsiran tentang suatu tindakan itu bersandarkan kepada MPT Bersatu,” katanya.