KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Lembaga Disiplin Bersatu menggantung keahlian dan semua jawatan Ahli Parlimen Labuan, Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman dalam parti itu bagi tempoh enam tahun yang berkuat kuasa sejak Selasa (7 Nov).
Ia selepas Suhaili mengisytihar menyokong Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, keputusan itu dibuat selepas meneliiti laporan pelanggaran disiplin dan perlembagaan oleh Suhaili yang juga Ketua Bahagian Bersatu Labuan.
“Setelah diteliti segala bukti dokumentasi, keseriusan kesalahan, implikasi serta impak kepada parti dan juga kenyataan media oleh Suhaili yang bertarikh 30 Oktober lalu, Jawatankuasa Lembaga Disiplin mendapati beliau bersalah di bawah Fazal 22.1 (f) Perlembagaan Bersatu.
“Sehubungan itu, Jawatankuasa Lembaga Disiplin sebulat suara menggunakan kuasa di bawa Fasa 22.5 (c) Perlembagaan Bersatu bagi menggantung keahlian Suhaili.
“Ia berserta kesemua jawatan dalam parti yang dipegang beliau untuk tempoh enam tahun berkuat kuasa dari tarikh keputusan dan hukuman, iaitu 7 November,” katanya dalam satu kenyataan media pada Selasa.
Terdahulu, Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid digantung keahlian selama empat tahun kerana menyatakan sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan.