KOTA KINABALU: Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) akan menganjurkan jualan BigSabah Sale 2023 bersempena dengan sambutan ulang tahun keempatnya yang dijadual akan berlangsung pada 15 hingga 17 Disember tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif SICC, Datuk Rosmawati Lasuki berkata, sebanyak 250 gerai akan dibuka yang melibatkan makanan dan minuman, fesyen dan banyak lagi.
“Fesyen dan gaya hidup ini luas yang terdiri dari pakaian sehinggalah produk kosmetik dan aksesori. Kita juga ada ‘home deco’ di mana pelanggan yang ingin membuat pengubahsuaian dan menghias rumah pada musim perayaan tahun baru.
“Jadi kita bawa banyak benda baru di mana, kita sudah berjumpa dan meminta dari China dan pelbagai tempat untuk produk yang permium,” katanya kepada pemberita selepas sesi sidang media BigSabah Sale 2023 di SICC pada Isnin (6 Nov).
Dalam pada itu, Rosmawati berkata, anjuran BigSabah Sale itu juga akan mengutamakan dan membawa serta mempromosi produk-produk tempatan Sabah yang berkualiti.
“Kita tahu diluar sana terdapat banyak produk yang berkualiti namun mereka tidak mempunyai tempat untuk mengetengahkan hasil produk mereka. Kami meminta sesiapa yang mempunyai ahli keluarga ataupun rakan-rakan yang memenuhi kriteria ini, mari turut serta dan bersama-sama kami,” jelasnya.
Tambah beliau, pihaknya menjangkakan lebih 5,000 kehadiran pengunjung setiap satu hari dari seluruh Sabah termasuk Labuan, Sarawak dan Brunei yang akan datang.