TAWAU: Kaum wanita di Sabah telah menceburi bidang keusahawanan yang meluas di negeri ini.
Isteri Ketua Menteri Sabah, Datin Seri Datuk Juliah Salag berkata, ia meliputi keusahawanan digital, makanan dan hospitaliti, industri kreatif, teknologi, sektor kecantikan dan banyak lagi.
“Sebab itu, kaum wanita kini dilihat lebih aktif terlibat dalam pelbagai sektor perniagaan. Mereka telah memainkan peranan penting dalam dunia perniagaan, mencipta inovasi dan pelbagai bidang yang lain.
“Walaupun usahawan wanita sering menghadapi cabaran yang unik, termasuk isu keseimbangan bidang kerjaya dan keluarga, namun ia bukan penghalang untuk berjaya kerana banyak sokongan dan rangsangan telah diberikan untuk menyokong keusahawanan wanita.
“Wanita juga telah membuktikan kebolehan mereka untuk mencipta kejayaan dalam bidang perniagaan, bukan sahaja di negeri Sabah malah di seluruh Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan penutupan Program Keusahawanan Jhewanita Tahun 2023 di Dewan Masyarakat Majlis Perbandaran Tawau (MPT) pada Khamis.
Juliah pada masa sama turut menyarankan agar para usahawan menyertai kursus, seminar atau program latihan berkaitan bidang keusahawanan bagi meningkatkan kemahiran, ilmu dan pengetahuan berkaitan perniagaan dan keusahawanan serta menjadikan usahawan yang berjaya sebagai tauladan, inspirasi dan wawasan bagi mengecapi kejayaan dalam bidang itu.
“Sebagai seorang wanita, kita bukan sahaja memainkan peranan penting dalam pembentukan generasi akan datang, malah turut menyumbang dalam pertumbuhan ekonomi negara.
“Justeru, saya sentiasa menyokong dan mengharapkan kejayaan para usahawan wanita di negeri Sabah, agar setanding dengan kejayaan usahawan-usahawan terkemuka yang berjaya menempah nama dan kejayaan dalam bidang perniagaan yang diceburi”, katanya.
Program Keusahawanan yang dianjurkan oleh JHEWA itu disertai oleh seramai 350 orang peserta terdiri daripada para peserta kursus kemahiran anjuran jabatan usahawan wanita dari sekitar daerah Tawau.