KOTA KINABALU: kerajaan Negeri Sabah terus giat menyemarakkan budaya Inovasi dalam sektor Awam bagi memastikan sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan lebih cepat, cekap dan berkesan.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, Inovasi dalam sektor itu juga sangat berkait rapat dengan proses untuk mengubah cara berfikir dan bekerja secara berkolaborasi demi memberi khidmat yang cemerlang kepada rakyat khususnya di negeri ini.
“Justeru, Penjawat Awam perlu tampil dengan idea lebih bernas serta berani, agresif membuat penambah baikan dan inovasi demi mencapai konsep Sabah Maju Jaya.
“Dalam hal ini, Ketua Jabatan memainkan peranan yang amat signifikan dalam menerajui hala tuju inovasi agensi yang diterajui,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya ketika merasmikan Majlis Penyampaian Anugerah Inovasi Sektor Awam Sabah Tahun 2023 (iSAS) di Dewan Bankuasi, Menara Kinabalu pada Khamis.
Sementara itu Hajiji berkata, menurut persepektif kedudukan negara dalam Global Innovation Index 2023 yang masih kekal pada tangga ke-36 sejak tahun 2022, persekitaran ekosistem cara bekerja dalam organisasi perlu dilonjakkan dengan drastik bagi memastikan negara terus kekal berdaya saing.
“Oleh yang demikian persekitaran ekosistem cara bekerja dalam organisasi mahupun gaya hidup masyarakat perlu dilonjakkan dengan drastik bagi memastikan negara kita terus kekal kompetetif dan berdaya saing melalui pemikiran secara kreatif dan inovatif.
“Senario ini secara tidak langsung menuntut Penjawat Awam khususnya untuk melipatgandakan usaha bagi mencipta pelbagai cetusan idea yang berinovatif dalam sistem penyampaian perkhidmatan seiring dengan arus globalisasi yang semakin berkembang dewasa ini,” tegasnya.
Untuk rekod, sebanyak 63 kumpulan yang melibatkan seramai 360 pegawai dan staff dari pelbagai agensi kerajaan negeri dan persekutuan di Sabah telah menyertai Inovasi Horizon Baharu kumpulan Inovatif dan Kreatif.