KOTA KINABALU: Kerajaan negeri Sabah telah menyumbang RM300,000 untuk Tabung Kemanusiaan Aman Palestin bagi membantu rakyat di negara itu yang sedang menderita akibat peperangan dan kekejaman rejim Zionis.
Selain sumbanan kerajaan negeri, pelbagai agensi, badan dan organisasi di negeri ini turut menyumbang untuk tabung berkenaan dan setakat ini berjaya dikumpul sebanyak RM355,000.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, beliau berharap semoga dengan bantuan kemanusiaan dan doa rakyat dari negeri ini, serba sedikit dapat membantu rakyat yang sedang tertindas di Palestin.
“Kita mahu masyarakat dunia bertindak untuk menghentikan kekejaman Israel ini dan kita mahu rakyat Palestin hidup dalam keadaan aman yang telah ditindas berpuluh-puluh tahun lamanya,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Himpunan Kemanusiaan Untukmu Palestin di Wisma MUIS, Kota Kinabalu pada Sabtu.
Sementara itu, Hajiji turut berharap agar peristiwa serangan di Palestin itu dijadikan iktibar kepada seluruh rakyat Sabah untuk terus mengekalkan keamanan tanpa mengira kaum, keturunan dan kepercayaan.
“Inilah yang kita harapkan, kerana kita nampak apabila ada kekejaman peperangan dan pencerobohan ke atas tanah air dan juga keamanan sesebuah bangsa itu maka ianya akan mengundang pelbagai masalah dan derita,” tegasnya.
Untuk rekod, seramai lebih 10,000 orang ramai telah datang dan memberi sokongan solidariti pada himpunan tersebut.