KUALA LUMPUR: Kerajaan melihat terdapat keperluan untuk meningkatkan serta memperluaskan kawasan penanaman padi di Sabah dan Sarawak bagi membantu meningkatkan bekalan beras seterusnya menjamin sekuriti makanan segera.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata ketika ini, selain Kedah, bekalan beras dalam negara juga banyak bergantung daripada Perak, Kelantan, Terengganu, Perlis dan Seberang Perai, Pulau Pinang.
Bagaimanapun, katanya, setiap kali musim banjir di utara dan Pantai Timur yang lazimnya berlaku pada Disember dan Januari, ia menyebabkan hasil padi rosak atau berkurang hingga menyebabkan bekalan beras negara turut terjejas.
“Oleh itu, dalam jangka panjang kita mesti bina sekuriti makanan kita di Sabah dan Sarawak. Jadi kita mesti bincang secara serius supaya Sabah dan Sarawak, dipertingkat kawasan penanaman padi.
“Kita akan mohon peruntukan pad bajet kali ini (Belanjawan 2024) atau kalau tak sempat, apa-apa sahaja peruntukan pada masa akan datang, untuk kita buat sistem perairan lebih baik agar dapat tingkatkan pengeluaran padi,” katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berata demikian ketika menjawab soan tambahan Datuk Henry Sum Agong (GPS-Lawas), sama ada kerajaan bercadang menggalakkan perluasan tanaman padi di kawasan pedalaman, memandangkan negara menghadapi banyak masalah bekalan beras ketika ini.
Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Zahid Hamidi berkata, FELCRA Berhad (FELCRA), akan bekerjasama dengan Kerajaan Sarawak dan Sabah dalam membangunkan antara 15,000 hinga 20,000 hektar tanah di kedua-dua negeri ini bagi tujuan penanaman padi secara berkelompok.
Sumber: BERNAMA