KOTA KINABALU: Pakatan Harapan (PH) Sabah tampil menafikan laporan yang mengatakan bahawa bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Musa Aman bakal mengetuai gabungan PH di Sabah.
Pengerusi PH Sabah, Datuk Christina Liew berkata, pihaknya terkejut dengan laporan daripada MalaysiaKini yang bertajuk ‘Musa Aman akan ketuai PH Sabah’.
Katanya, laporan yang sudah tular di sosial media itu telah menimbulkan kekeliruan dan kerisauan rakyat.
“PH Sabah secara sebulat suara menafikan perkara ini dan ianya tidak sesekali dibincang dan diputuskan dalam mana-maan mesyuarat PH Sabah,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
Jelas Christina PH Sabah turut mengambil pendirian bahawa mana-mana keputusan mustahak yang berhubung kait dengan mandat dan keyakinan rakyat seharusnya dipetimbangkan, diteliti dan diperhalusi sebulat suara pada peringkat pimpian PH Sabah.
“PH Sabah akan bertemu dan bermesyuarat dalam masa terdekat untuk membincangkan perkara ini termasuk hala tuju PH Sabah menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal diadakan nanti,” tegasnya.
Terdahulu, MalaysiaKini melaporkan bahawa Musa Aman akan kembali aktif dalam politik negeri ini.
“Sumber-sumber mendakwa pengerusi Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim sedang mencari jalan untuk meletakkan ahli politik veteran itu sebagai peneraju gabungan itu di Sabah,” jelas laporan itu.