SEMPORNA: Seorang kanak-kanak lelaki maut dalam kemalangan jalan raya yang membabitkan dua kenderaan di Jalan Semporna ke Tawau, berhampiran dengan Sawit Kinabalu Semporna pada petang Isnin. (11 Sept).
Dalam kejadian kira-kira jam 2.02 petang itu, dilaporkan satu kemalangan jalan raya telah berlaku di mana sebuah kenderaan pacuan empat roda (Toyota Vigo) telah bertembung dengan sebuah Proton Saga.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna, Madzlan Sarman berkata, kemalangan itu turut membabitkan 10 orang mangsa termasuk seorang kanak-kanak lelaki yang dilaporkanmeninggal dunia.
“Empat orang mangsa berada di kenderaan Proton Saga, iaitu dua perempuan dewasa, dua kanak-kanak lelaki dan seorang dari kanak-kanak lelaki itu telah pun disahkan meninggal dunia oleh Pegawai Perubatan di tempat kejadian.
“Mayat kanak-kanak lelaki itu kemudian diserahkan kepada pihak Polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
Manakala katanya, enam lagi mangsa berada di kenderaan Toyota Vigo, iaitu seorang lelaki dewasa, seorang perempuan dewasa, tiga kanak-kanak perempuan dan seorang kanak-kanak lelaki.
“Kesemua mangsa yang mengalami kecederaan telah diberikan rawatan awal oleh pasukan ERMS.
“Seterusnya kesemua mangsa telah pun dihantar ke Hospital menggunakan jentera ERMS dan Ambulans untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.
Operasi kemudian ditamatkan pada jam 4.06 petang.