KOTA KINABALU: Seorang lelaki dijatuhkan hukuman penjara selama 26 tahun dan 20 sebatan oleh Mahkmah Sesyen di sini atas kesalahan merogol anak perempuannya yang berusia 12 tahun sebanyak dua kali.
Mangsa dilaporkan membawa kandungan 22 minggu ketika laporan polis dibuat oleh pihak perubatan.
Tertuduh berusia 48 tahun mengaku bersalah atas dua pertuduhan di hadapan hakim Azreena Aziz.
Bagi pertuduhan pertama, tertuduh merogol anak perempuannya pada Januari tahun ini, iaitu kira-kira jam 10 pagi di dalam bilik tidur sebuah rumah di daerah Sipitang.
Manakala, bagi pertuduhan kedua, tertuduh merogol mangsa sekali lagi pada bulan Februari, kira-kira 12 tengah hari di kampung dan daerah yang sama.
Kedua-dua kesalahan tersebut boleh dihukum di bawah Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan minimum 10 sebatan, jika sabit kesalahan.
Mahkamah seterusnya menjatuhkan hukuman penjara 13 tahun dan 10 sebatan bagi setiap pertuduhan.
Tertuduh turut diperintahkan untuk diletakkan di bawah pengawasan polis selama dua tahun selepas menamatkan hukuman penjara.
Mahkamah maklum bahawa pada 21 Julai lalu, seorang kakitangan perubatan yang bertugas di sebuah klinik kesihatan di Sipitang melihat seorang pesakit (mangsa) yang mendakwa dia batuk, muntah dan sakit perut.
Selepas pemeriksaan dijalankan, mangsa disahkan positif mengandung dengan anggaran usia kandungan 22 minggu.
Pengadu kemudian membuat laporan polis dan merujuk mangsa ke unit kecemasan Hospital Sipitang untuk tindakan lanjut dan siasatan lanjut mendapati mangsa telah dirogol bapa kandungnya sebanyak dua kali.
Sumber: NST