TAWAU: Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah dan Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan rasa amat teruja dengan sambutan hebat rakyat kepada Baginda berdua sebaik kebarangkatan tiba di Tawau sempena jelajah Kembara Kenali Borneo, petang semalam.
Baginda berdua turut menzahirkan rasa amat terharu dengan kehadiran ribuan rakyat yang meluangkan masa seawal jam 12 tengahari dan menanti dengan penuh sabar di sepanjang 34km perjalanan dari Lapangan Terbang Tawau ke hotel penginapan untuk bertemu dan bersalaman dengan Baginda berdua.
Agong bertitah, walaupun Baginda memandu sendiri kereta dengan ditemani Raja Permaisuri Agong, mengambil masa selama hampir enam jam ke hotel penginapan, Baginda berdua amat gembira kerana dapat menyantuni rakyat di sepanjang perjalanan yang sepatutnya memakan masa lebih kurang 30 minit.
Baginda berdua turut terharu dengan semangat yang ditunjukkan rakyat pada hari pertama Baginda berdua tiba di Sabah bagi merialisasikan impian Baginda menelusuri Sabah dan Sarawak bermula hari ini di Tawau dan berakhir di teluk Melano, Kuching, Sarawak pada 13 September 2023 kelak.
Susulan sambutan hebat itu, Baginda menasihati rakyat di setiap lokasi yang telah dirancangkan bagi Program Kembara Kenali Borneo untuk menitikberatkan keselamatan diri terutama semasa berada di bahu jalan raya serta mematuhi arahan daripada pihak berkuasa tempatan.
Baginda pada masa sama bertitah, agar semangat perpaduan yang terserlah pada Sambutan Hari Kebangsaan 2023 baru-baru ini juga ditunjukkan oleh rakyat Sabah dan Sarawak pada sambutan Hari Malaysia 2023 pada 16 September 2023 kelak.
Baginda menzahirkan ucapan terima kasih kepada Yang Dipertua Negeri Sabah, Tuan Yang Terutama, Tun Juhar Mahiruddin, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Seri Kadzim M Yahya atas majlis sambutan kebarangkatan tiba Baginda berdua di Tawau, termasuk penganjuran Majlis Pelancaran Kembara Kenali Borneo dan Santapan Malam Bersama Masyarakat Tawau, semalam.
Baginda turut mengambil kesempatan mengajak seluruh rakyat untuk bersama mendoakan agar impian pengembaraan Baginda berdua yang julung kali diadakan dalam mendekati rakyat di Sabah dan Sarawak dipermudahkan serta berjalan dengan lancar dan jayanya.
Sumber: Istana Negara