KENINGAU: Polis menahan empat lelaki warganegara Indonesia yang disyaki terlibat dengan kes bunuh seorang lelaki di sebuah kebun di Kampung Batu 27, Jalan Tenom-Keningau pada Selasa lalu.
Mangsa, warga Indonesia berusia 47 tahun ditemukan orang awam sedang terbaring di rumah kebun dan berada dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia.
Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil Garai berkata, pihaknya menerima laporan pada jam 9.50 malam mengenai kejadian kes kematian mangsa.
“Hasil siasatan pihak polis IPD Keningau, seorang lelaki tempatan yang bertugas untuk meronda di kawasan kebun tersebut melihat mangsa terbaring dan berada dalam keadaan tidak sedarkan diri namun masih bernafas.
“Mangsa seterusnya telah dibawa ke Hospital Keningau untuk mendapatkan rawatan lanjut namun pada keesokan harinya pihak hospital mengesahkan bahawa mangsa telah meninggal dunia akibat pendarahan dalaman otak yang mana terdapat benjolan pada kepala kanan mangsa,” katanya dalam satu kenyataan media pada Sabtu lalu (2 Sept).
Sementara itu, Yampil berkata, dua perempuan dan seorang lelaki telah ditahan bagi membantu siasatan kes tersebut untuk mengesan empat orang suspek utama yang terlibat dalam kes tersebut.
“Bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Keningau telah berjaya membuat tangakapan secara berasingan terhadap kesemua empat lelaki warganegara Indonesia berusia lingkungan 17 hingga 37 tahun pada Sabtu lalu (2 Sept).
“Tangkapan dilakukan kira-kira jam 8 pagi dan 3 petang di kawasan tepi jalan Kampung Bunga Raya Keningau dan hadapan rumah tidak bernombor di ladang sawit Sapong-Tenom,” jelasnya.
Kesemua suspek telah ditahan untuk siasatan lanjut dan kes kini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Yampil yang berterima kasih kepada masyarakat atas bantuan memudahkan proses pengangkapan suspek turut menasihati orang awam untuk tidak membuat sebarang spekulasi terhadap kes tersebut di media sosial yang akan menjejaskan siasatan pihak polis.