PENAMPANG: Sabah menjadi satu negeri tumpuan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia (MOSTI) dalam usaha mencari lebih ramai inovator tempatan.
Timbalan Menteri (MOSTI), Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, melalui pelaksanaan Program INovasi Sosial Malaysia (MyIS Komuniti), kementeriannya memberi fokus kepada pemerkasaan inovator akar umbi sebagai asas untuk merakyatkan teknologi berasaskan pendekatan Local Issue, Local Technology dan Local Benefit.
Justeru itu katanya, tahun ini seramai lapan peserta dari Sabah mendapat manfaat menerusi inisiaitfi MyIS Akar Umbi (MAGRIS) di bawah Yayasan Inovasi Malaysia (YIM).
“Setakat ini, di bawah program MAGRIS juga di bawah YIM kita ada 15 peserta dan daripada 15 itu, lapan datang dari Sabah.
“Menunjukkan bahawa bukan saja kita berusaha untuk memberikan tumpuan yang lebih kepada bidang pertanian untuk membantu kawasan luar bandar tetapi Sabah juga menjadi tumpuan bagi kita walaupun daripada kerajaan persekutuan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Kursus Pertanian Moden di Penampang pada Jumaat.
Sementara itu, Ahli Parlimen Penampang, Datuk Ewon Benedict turut menyokong usaha kegiatan memodenkan pertanian dengan menyalurkan peruntukan kepada Pertubuhan Peladang Penampang.
“Saya juga telah bersetuju semasa dalam kunjungan Pertubuhan Peladang dan Farm Tokou kepada saya baru-baru ini untuk saya menggunakan sebahagian peruntukan Ahli Parlimen untuk saya salurkan bagi tujuan yang sama, iaitu melengkapkan usaha-usaha peladang untuk mengembangkan aktiviti dengan pendekatan yang lebih moden.
“Pada hari ini juga, saya sumbangkan peruntukan sebanyak RM32,000 kepada Pertubuhan Peladang dan mudah-mudahan ia menjadi satu berkat yang baik untuk daerah Penampang dan juga Sabah,” katanya.
Untuk rekod, seramai 100 peserta telah mengikuti Kursus Pertanian Moden Penampang yang dianjurkan oleh GE Nitrate Solution.